Friday, February 6, 2009

TAJUK 5 : JENIS-JENIS PENILAIAN BAHASA

Ujian Formatif
· Ujian formatif dilaksanakan untuk menentukan kemajuan pelajar-pelajar dari semasa ke semasa di sepanjang pembelajaran mereka. Ia juga merupakan bahan atau alat yang dibina oleh guru untuk menguji sesuatu unit kemahiran atau sub kemahiran bahasa yang telah diajar. Ujian jenis ini merupakan jenis ujian yang berasaskan kemahiran (yang diajar dalam jangka masa pendek).

Ujian Sumatif
· Ujian sumatif digunakan bagi menentukan tahap penguasaan pelajar dalam keseluruhan pembelajaran. Merupakan bahan atau alat ujian yang dibina untuk menguji pencapaian murid dalam beberapa kemahiran bahasa yang telah diajar secara jangkamasa panjang (selepas satu-satu semester/ selepas satu tahun). Kemahiran bahasa yang diuji ialah kemahiran lisan, bacaan dan penulisan. Ujian sumatif biasanya dilakukan pada akhir pembelajaran. Contoh ujian sumatif ialah ujian akhir semester. Memandangkan penilaian sumatif dibuat pada akhir pembelajaran, skor-skor dari penilaian sumatif biasanya lebih berguna untuk tujuan melaporkan kemajuan pelajar daripada memperbaiki kelemahan awal pengajaran guru dan pembelajaran murid.

Ujian kefasihan
· Bertujuan untuk menentukan setakat mana seseorang itu mengetahui dan menguasai sesuatu bahasa secara keseluruhan. Ujian ini tidak berdasarkan sesuatu kandungan atau isi pelajaran tetapi menilai kebolehan umum seseorang terhadap bahasa yang dipelajari. Ujian ini penting untuk mengukur kebolehan berbahasa seseorang.

Ujian kemajuan.
· Ujian jenis ini adalah ujian ringkas yang dibina oleh guru-guru kelas untuk penggunaan kelasnya sahaja. Ia hanya sesuai dinilai oleh guru kelas sahaja. Ujian ini harus berasaskan objektif pengajaran, program pembelajaran yang telah diikuti oleh pelajar dan pengetahuan yang ingin diuji. Ia membolehkan guru mengetahui dengan lebih jelas tentang kemajuan seseorang murid dan kemajuan darjahnya secara keseluruhan.

Ujian bakat
· Ujian jenis ini adalah khusus untuk menelah prestasi seseorang murid dalam pelajaran atau kemahiran bahasa asing yang akan dipelajarinya. Ia selalu melibatkan data-data bahasa yang artifical iaitu mengandungi unsur fonetik, tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainya.

Ujian pencapaian
· Ia bertujuan untuk menentukan setakat mana pelajar telah menguasai kemahiran, bahan/isi pelajaran yang telah diajar kepada mereka. Soalan yang diajukan dalam ujian jenis ini mestilah berkaitan dengan isi pelajaran yang telah diajar sahaja. Ia juga bertujuan untuk menentukan penempatan jenis sekolah, jurusan atau kumpulan-kumpulan tertentu murid. Dalam pengajaran bahasa, ujian ini diberikan untuk mengasingkan calon-calon mengikut kebolehan mereka dan ini adalah semata-mata untuk tujuan strategi dan perancangan pengajaran guru.

Sumber rujukan: -
Kamarudin Hj. Husin. (1988). Pedagogi Bahasa.

1 comment: