Friday, February 6, 2009

TAJUK 5 : JENIS-JENIS PENILAIAN BAHASA

Ujian Formatif
· Ujian formatif dilaksanakan untuk menentukan kemajuan pelajar-pelajar dari semasa ke semasa di sepanjang pembelajaran mereka. Ia juga merupakan bahan atau alat yang dibina oleh guru untuk menguji sesuatu unit kemahiran atau sub kemahiran bahasa yang telah diajar. Ujian jenis ini merupakan jenis ujian yang berasaskan kemahiran (yang diajar dalam jangka masa pendek).

Ujian Sumatif
· Ujian sumatif digunakan bagi menentukan tahap penguasaan pelajar dalam keseluruhan pembelajaran. Merupakan bahan atau alat ujian yang dibina untuk menguji pencapaian murid dalam beberapa kemahiran bahasa yang telah diajar secara jangkamasa panjang (selepas satu-satu semester/ selepas satu tahun). Kemahiran bahasa yang diuji ialah kemahiran lisan, bacaan dan penulisan. Ujian sumatif biasanya dilakukan pada akhir pembelajaran. Contoh ujian sumatif ialah ujian akhir semester. Memandangkan penilaian sumatif dibuat pada akhir pembelajaran, skor-skor dari penilaian sumatif biasanya lebih berguna untuk tujuan melaporkan kemajuan pelajar daripada memperbaiki kelemahan awal pengajaran guru dan pembelajaran murid.

Ujian kefasihan
· Bertujuan untuk menentukan setakat mana seseorang itu mengetahui dan menguasai sesuatu bahasa secara keseluruhan. Ujian ini tidak berdasarkan sesuatu kandungan atau isi pelajaran tetapi menilai kebolehan umum seseorang terhadap bahasa yang dipelajari. Ujian ini penting untuk mengukur kebolehan berbahasa seseorang.

Ujian kemajuan.
· Ujian jenis ini adalah ujian ringkas yang dibina oleh guru-guru kelas untuk penggunaan kelasnya sahaja. Ia hanya sesuai dinilai oleh guru kelas sahaja. Ujian ini harus berasaskan objektif pengajaran, program pembelajaran yang telah diikuti oleh pelajar dan pengetahuan yang ingin diuji. Ia membolehkan guru mengetahui dengan lebih jelas tentang kemajuan seseorang murid dan kemajuan darjahnya secara keseluruhan.

Ujian bakat
· Ujian jenis ini adalah khusus untuk menelah prestasi seseorang murid dalam pelajaran atau kemahiran bahasa asing yang akan dipelajarinya. Ia selalu melibatkan data-data bahasa yang artifical iaitu mengandungi unsur fonetik, tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainya.

Ujian pencapaian
· Ia bertujuan untuk menentukan setakat mana pelajar telah menguasai kemahiran, bahan/isi pelajaran yang telah diajar kepada mereka. Soalan yang diajukan dalam ujian jenis ini mestilah berkaitan dengan isi pelajaran yang telah diajar sahaja. Ia juga bertujuan untuk menentukan penempatan jenis sekolah, jurusan atau kumpulan-kumpulan tertentu murid. Dalam pengajaran bahasa, ujian ini diberikan untuk mengasingkan calon-calon mengikut kebolehan mereka dan ini adalah semata-mata untuk tujuan strategi dan perancangan pengajaran guru.

Sumber rujukan: -
Kamarudin Hj. Husin. (1988). Pedagogi Bahasa.

TAJUK 4 :- PENILAIAN UJIAN


Soalan Objektif

· Memerlukan murid menulis /memilih satu jawapan yang betul atau yang paling baik. Ia dibentuk daripada beberapa item objektif yang boleh diperiksa secara objektif iaitu pemeriksa –pemeriksa berlainan memperolehi skor yang sama ketika memeriksa tindak balas yang serupa. Kebolehpercayaan pemarkahan ujian ini adalah tinggi. Pelajar tidak bebas mengatur, menyumbang tindak balas mengikut kehendaknya sendiri. Ia mestilah memilih atau memberi satu daripada beberapa pilihan yang mungkin berupa perkataan, rangkai kata, angka-angka atau lambang-lambang yang betul.
· Antara contoh soalan objektif ialah :-

a) Item jawapan pendek
· Boleh diklasifikasikan sebagai item objektif yang menyumbang gerak balas bebas. Ia boleh merupakan soalan dan melengkapkan ayat-ayat sama ada dengan perkataan, rangkai kata, atau lambang-lambang.

b) Item jenis padanan
· Item padanan menghidangkan masalah (premises atau stimuli) dan beberapa penyelesaian masalah (tindak balas). Stimuli diletakkan di sebelah kiri dan tindak balas pula diletakkan di bahagian kanan. Murid kemudiaanya di kehendaki memadankan stimuli dan tindak balas yang berkaitan.

c) Item jenis aneka pilihan
· Item jenis ini adalah daripada golongan item jawapan tetap kerana diberikan tindak balas terbatas. Item ini terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu stimulus (rangsangan), stem (bahagian yang mengandungi tugasan) dan jawapan pilihan.

d) Item jenis kloz.
· Satu teknik pengukuran yang dibina dengan meninggalkan kosong perkataan-perkataan atau rangkai kata tertentu dalam sesuatu ujaran. Tempa-tempat kosong diisi dengan perkataan-perkataan atau rangkai kata secara bebas ataupun daripada pilihan yang diberi. Soalan jenis ini sesuai untuk menguji keupayaan dalam bidang perbendaharaan kata dan tatabahasa secara mendalam.


Soalan Subjektif

· Bersifat pertanyaan dalam instrumen pentaksiran untuk menguji pengetahuan, pengalaman, kemahiran serta tahap kebolehan kognitif. Terbahagi kepada dua jenis item iaitu item struktur dan item jenis esei.

a) Item jenis struktur
- Merupakan item yang disusun dan diatur secara sistematik serta berkembang untuk menjadi rangka kepada satu persoalan yang lebih besar atau berkaitan dengan satu-satu tema.

b) Item jenis esei.
- Memberi peluang kepada pelajar melakukan gerak balas dalam tulisan dengan menggunakan perkataan sendiri. Gerak balas memerlukan jawapan yang meluas dan bebas dari segi mengenal fakta, menilai fakta, mengatur idea dan mengembleng idea-idea. Kebolehpercayaan pemarkahan item jenis ini adalah rendah. Item jenis esei ini terbahagi kepada dua jenis iaitu item tindak balas terhad (dihadkan skop/topik tertentu) dan item tindakbalas lanjutan.

Sumber rujukan: -
Kamarudin Hj. Husin. (1988). Pedagogi Bahasa.

TAJUK 3 :- JADUAL SPESIFIKASI UJIAN


Definisi
· JSU merupakan satu rancangan persediaan item (soalan). Ia juga dikenali sebagai “test blue print / test specification”. JSU merupakan matrik yang terdiri daripada paksi iaitu paksi kandungan (menegak) dan paksi aras kemahiran (melintang).
· JSU mengandungi maklumat seperti :-

a) Topik pelajaran
b) Aras kemahiran mengikut aras taksonomi pendidikan.
c) Pemberatan/peratus pemberatan pada kandungan aras kemahiran berdasarkan lama masa
mengajar dan kepentingan sesuatu kemahiran yang perlu diajar.
d) Bentuk ujian (objektif, subjektif,esei, amali, kerja kursus dll)
e) Bilangan item (soalan) yang mengikut bentuk, kandungan dan aras kemahiran.
f) Kepayahan atau kesukaran item.

Kepentingan JSU
· Mengelakkan sesuatu ujian dibina secara sembarangan.
· Menjamin kesahan sesuatu ujian (kandungan)
· Menimbulkan rasa kepantingan sesuatu topik dan aras-aras kemahiran.
· Menentukan keseimbangan antara topic dengan aras-aras kemahiran yang diuji.
· Memberi panduan untuk membuat format ujian.
· Memberi panduan untuk membentuk soalan.
· Mengambil kira bilangan masa yang diperuntukkan untuk sesuatu topik.
· Membolehkan perbandingan dibuat antara satu ujian dengan ujian yang lain.

Langkah-langkah membina JSU
1. Senaraikan tajuk-tajuk yang hendak diuji.
2. Tentukan soalan yang hendak dibina (sama ada objektif, struktur,esei)
3. Tentukan model aras kesukaran (JSU biasanya menggunakan taksonomi objektif
pendidikan Bloom)
4. Pastikan jenis ujian yang bakal diuji (objektif, esei, struktur dll)
5. i) Tentukan bilangan soalan bagi setiap komponen (objektif=?, struktur=?, esei=?)
ii) penentuan aras kesukaran soalan (mengikut aras taksonomi Bloom)
6. Menyatakan mata pelajaran, tingkatan/darjah, susunan nombor soalan mengikut tajuk

TAJUK 2 :- TAKSONOMI DAN DOMAINYA


Taksonomi Bloom (domain kognitif)

Menitikberatkan aspek kognitif atau pengetahuan. Bercorak hierarki (tahap rendah ke tahap tinggi). Membuat soalan pelbagai aras untuk menguji tahap berfikir pelajar. Kebanyakan ujian di dalam bilik darjah bertujuan mengetahui tahap kognitif pelajar. Menurut Benjamin S. Bloom, aras kognitif boleh dibahagikan kepada 6 tahap, iaitu: Pengetahuan, Kefahaman, Penggunaan, Analisis, Sintesis dan Penilaian.

Aras Taksonomi Kognitif Bloom (1956)


· Pengetahuan

Ingat kembali, mengenal idea, fakta asas, definisi, teori, hukum, tarikh, peristiwa dan lain-lain daripada pembelajaran lepas. Istilah atau kata tugas yang digunakan dalam soalan ialah nyatakan, terangkan, namakan, labelkan.

· Kefahaman
Mengubah kefahaman daripada satu bentuk kepada bentuk yang lain, menyatakan idea-idea utama dalam ayat sendiri, menterjemah, memberi contoh kepada konsep dan menterjemah draf. Istilah atau kata tugas yang digunakan ialah pilih,terangkan,tulis semula

· Penggunaan /aplikasi
Menggunakan maklumat dalam situasi yang baru, termasuk menyelesaikan masalah menggunakan prinsip, kaedah, hukum, teori, formula. Bina graf daripada data dll.

· Analisis
Sesuatu yang kompleks dipecahkan kepada yang kecil, bezakan fakta daripada pendapat, kaitan kenal antara bahagian, kenali struktur organisasi. Istilah atau kata tugas yang digunakan dalam soalan ialah bezakan, pasti,pilih.


· Sintesis

Menyepadu, mencantum idea menjadi satu, usaha tersendiri menyelesaikan masalah, membuat ramalan, membuat klasifikasi. Istilah atau kata tugas yang digunakan dalam soalan ialah bina, hasilkan, susun,kembangkan.

· Penilaian
Membuat pertimbangan, termasuk memberi rasional, atas alasan dalaman atau luaran, mentafsir dan mengkritik. Istilah atau kata tugas yang digunakan dalam soalan ialah pilih, berikan, alasan, kritikan, buktikan.

www.scribd.com


Taksonomi Krathwohl (domain afektif)
Aras taksonomi Krathwohl


Penerimaan
Berhubung dengan kemahuan pelajar untuk memberi perhatian. Tindakan pelajar mencerminkan satu kesedaran atau perhatian terhadap ransangan dan peristiwa atau persekitaran yang berhubung dengan domain afektif. Konteks pengajaran menekankan kepada kebolehan mendengar, menanyakan soalan, mengenal bahagian-bahagian ayat dan menjawab
dengan lengkap.

Gerak balas
Membawa maksud membentuk sesuatu sistem nilai. Apabila lebih daripada satu nilai dinuranikan maka membolehkan beberapa nilai digunakan. Pelajar terpaksa membina beberapa hubungan dan keutamaan di antara nilai-nilainya.

Menilai

Pada peringkat ini perlakuan adalah didasarkan atas konsep dan prinsip yang telah dinuranikan sehingga menjadi kepercayaan. Perlakuan cenderung menjadi konsisten walaupun dalam keadaan yang berbeza jika kepercayaan itu boleh dipratikkan.

Organisasi
Membawa maksud membentuk sesuatu sistem nilai. Apabila lebih daripada satu nilai dinuranikan maka membolehkan beberapa nilai digunakan. Pelajar terpaksa membina beberapa hubungan dan keutamaan di antara nilai-nilainya.

(Kamarudin Hj. Husin. (1988). Pedagogi Bahasa.)

TAJUK 1 :- PENGERTIAN KONSEP PENILAIAN, PENGUJIAN DAN PENTAKSIRAN


Penilaian

Apakah itu penilaian pendidikan? Menurut Stufflebeam (1971), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan. Penilaian merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan.

Meskipun banyak definisi penilaian pendidikan dikemukakan oleh pakar-pakar seperti Stufflebeam (1971), Thorndike dan Hagen (1977) dan Kubiszyn dan Borich (1996), pada asasnya penilaian merupakan suatu proses membuat keputusan yang sistematik melibatkan pengenalpastian, pemerolehan dan pentafsiran maklumat yang berguna bagi pertimbangan pilihan-pilihan keputusan berasaskan kepada sesuatu objektif pendidikan. Dari segi pengajaran dan pembelajaran di universiti, penilaian boleh didefinisikan secara ringkas sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran dan pembelajaran di dewan kuliah dan makmal dicapai.

Definisi penilaian ini membawa maksud objektif pengajaran perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum penentuan pencapaian objektif tersebut dibuat berasaskan pertimbangan terhadap bukti empirikal. Bukti empirikal pencapaian biasanya diperoleh secara pengukuran terhadap penguasaan pelajar dengan menggunakan alat ukur yang dinamakan ujian. Namun, perkembangan dalam bidang penilaian menunjukkan banyak cara kita boleh menilai pengajaran pensyarah. Antara pelbagai jenis penilaian yang sering dilakukan di universiti adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar, oral pelajar. Bukti empirikal dikumpul secara sistematik berasaskan maklumat sahih, tekal, telus dan boleh dipertahankan. Tanpa bukti empirikal, pertimbangan terhadap pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran
mungkin dibuat berasaskan pendapat iaitu pertimbangan nilai bersifat subjektif, pincang dan rapuh.

Pengujian

Pengujian merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu kursus di universiti. Ujian adalah alat ukur. Ujian digunakan bagi mengukur ‘penguasaan’ pelajar dalam sesuatu kursus. Ujian mengandungi satu set tugasan (dalam bentuk tugasan) yang berdasarkan sesuatu kursus bagi merangsang pelajar untuk ‘menunjukkan’ tahap penguasaan mereka dalam kursus berkenaan. Tahap penguasaan pelajar biasanya dikuantifikasikan dengan memberi skor kepada jawapan yang diberi.

Memandangkan ujian merupakan alat ukur yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran di universiti, tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu, mentadbir ujian berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan tepat. Kita perlu memastikan penilaian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan sempurna dan boleh dipertahankan. Satu daripada cara-cara memastikan ini berlaku ialah dengan menjalankan pengujian yang berkualiti.

Pentaksiran

Pentaksiran adalah suatu proses yang meliputi pelbagai kaedah untuk menentukan tahap sesuatu ciri atau atribut yang diperolehi seseorang individu. Pengukuran merupakan suatu proses kuantifikasi dengan memberi nilai angka kepada kewujudan sesuatu ciri dan atribut. Dalam pengajaran dan pembelajaran di universiti, kewujudan ciri “penguasaan” sesuatu isi kursus yang diajar oleh pensyarah pada pelajar dikuantifikasikan dengan memberi skor ujian.
http://72.14.235.132/search?q=cache:F_39aYGFG-EJ:ppt.ump.edu.my/images/asdc/MODUL%25204%25204A.doc+pengertian+pentaksiran,pengujian+dan+penilaian&hl=en&ct=clnk&cd=3&gl=my